Daerah Pontian
Pontian ialah salah satu daerah di Johor, Malaysia. Daerah ini terletak di selatan negeri Johor berkeluasan 355 kilometer persegi dengan jumlah penduduk seramai 173,318 orang pada tahun 2020. Pusat pentadbiran bagi daerah ini terletak di Pontian Kechil. Di daerah ini terletaknya Tanjung Piai yang menjadi titik paling selatan benua Asia. EtimologiPerkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar iaitu tempat berteduh bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kechil menjadi bandar utama bagi daerah Pontian.[3] PentadbiranDaerah Pontian ditadbir oleh Majlis Perbandaran Pontian yang berpusat di Pontian Kechil. Daerah ini terbahagi kepada 11 mukim, dua bandar dan sebuah pekan; Mukim, bandar dan pekan
GeografiDaerah Pontian terletak di selatan negeri Johor bersempadan dengan daerah Batu Pahat di barat laut, Kluang di utara, Kulai di timur laut, Johor Bahru di timur dan Selat Melaka di barat dan selatan. IklimIklim di daerah ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[4] Purata suhu ialah 27.89 °C (82.2 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 28.5 °C (83.3 °F). Bulan Januari dan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 27.2 °C (81.0 °F).[4] Purata kerpasan di Pontian adalah 2462.7 milimeter pertahun. Bulan Disember merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 332.6 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Jun dengan 137.5 milimeter.[4]
Demografi
Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Pontian ialah seramai 173,318 orang dengan kepadatan penduduk 186 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk lebih 72 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Lebih tujuh peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[2] Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 116:100. Terdapat 46,692 tempat kediaman dengan sebanyak 42,519 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 118 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 40 ribu dalam golongan muda dan selebihnya 14 ribu orang merupakan warga tua.
AgamaMajoriti penduduk di daerah Pontian beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Hindu yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa India. Penduduk berbangsa bumiputera lain dan etnik yang lain terdiri daripada mereka yang menganut Kristian dan beberapa agama lain serta tidak beragama.[2]
PengangkutanPontian boleh dihubungi melalui Lebuhraya Utara Selatan. Pengunjung dari arah utara boleh menggunakan susur keluar tol Simpang Renggam ataupun susur keluar tol Sedenak untuk ke Pontian. Pontian juga boleh dihubungi melalui Lebuhraya Nusajaya dan Lebuhraya Iskandar Johor. Pengunjung dari arah Johor Bahru dan Gelang Patah boleh menggunakan susur keluar tol Perling atau Lima Kedai untuk ke Pontian. Pontian tidak mempunyai perkhidmatan kereta api tetapi boleh berbuat demikian dengan menggunakan stesen terdekat KTM Kulai untuk berbuat demikian. Lihat jugaRujukan
Pautan luar
|