Daerah Kabong
Kabong ialah sebuah daerah di wilayah Sarawak, Malaysia.[1][2] Daerah ini adalah sebahagian daripada Bahagian Betong yang merangkumi Betong, Saratok, Pusa, Kabong, Spaoh, Debak, Roban, Maludam dan Budu.[3] Majoriti penduduk yang tinggal di daerah ini merupakan masyarakat beretnik Melayu.[4] Pekan pentadbiran bagi daerah ini ialah Pekan Kabong. Daerah Kabong mempunyai keluasan kira-kira 799 kilometer persegi (79,900.0 he) yang juga merupakan daerah ketiga terbesar dalam Bahagian Betong.[5] Terdapat satu daerah kecil yang dibawah daerah Betong iaitu Daerah Kecil Roban.[3] SejarahSebelum Kabong dinaik taraf ke sebuah daerah penuh, ia merupakan salah satu daerah kecil yang dibawah pentadbiran Daerah Saratok yang mempunyai keluasan kira-kira 398.14 kilometer persegi (153.7 bt2).[6] Pada era pemerintahan Ketua Menteri Sarawak kelima iaitu Adenan Satem, Daerah Kecil Kabong telah dinaiktaraf kepada daerah penuh dan berpisah sepenuhnya daripada Daerah Saratok.[7] PentadbiranDaerah Kabong secara keseluruhannya berada di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kabong yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran Bahagian Betong. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Majlis Daerah Saratok. Petempatan di Daerah Kabong mempunyai 26 buah rumah panjang Iban dan 27 buah perkampungan Melayu.[8] Kesemua kampung dan rumah panjang di daerah ini dipimpin oleh seorang ketua kaum (ketua kampung; tuai rumah) yang menjadi wakil kepada kerajaan. Daerah Kabong dipimpin oleh seorang pegawai daerah; pemegang jawatan terkini ialah Mohd. Rashdan Bin Haji Hazemi.[9] PolitikDari segi politik, Daerah Kabong mempunyai kawasan pilihan raya negeri tersendiri yang diberi nama yang sama, Kabong yang berada dibawah Parlimen Saratok. ADUN Kabong ialah Mohd Chee Kadir.[10] GeografiDaerah Kabong terletak di barat negeri Sarawak, dan di utara bahagian Betong. Daerah Kabong bersempadan dengan daerah Sarikei di utara, daerah Saratok di timur, daerah Pusa di selatan dan Laut China Selatan di barat. Daerah Kabong mempunyai keluasan kira-kira 799 kilometer persegi dan mempunyai titik tertinggi mencecah 188 meter. Bentuk muka bumi daerah ini kebanyakannya merupakan kawasan rendah dan rata kerana lokasinya yang berada di kawasan pesisir pantai. Namun beberapa kawasan di timur daerah ini merupakan kawasan yang sedikit berbukit. Antara sungai utama yang mengalir di daerah ini termasuklah Sungai Krian, Sungai Seblak, Sungai Limut dan Sungai Nyabor. Demografi
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Kabong ialah seramai 18,404 orang dengan kepadatan penduduk 23 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 4,234 isi rumah dengan 5,521 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Kabong merupakan masyarakat berbangsa Melayu. Kelompok Bumiputera selain Melayu merupakan kumpulan kedua terbesar di daerah ini, dengan majoriti antara mereka berbangsa Iban. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 111 orang.[13][14]
AgamaDi daerah Kabong, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 50 peratus dari jumlah penduduk di daerah ini diikuti agama Kristian sebanyak lebih 42 peratus. Penduduk yang tidak beragama membentuk kelompok ketiga terbesar dengan peratusan hampir empat peratus daripada jumlah penduduk. Penduduk beragama Buddha pula mencatatkan peratusan tiga peratus manakala agama lain-lain membentuk kumpulan minoriti.
Rujukan
Pautan luar
|