Daerah Mukah
Mukah merupakan sebuah daerah yang berada di wilayah Sarawak, Malaysia. Daerah ini berada di bawah pentadbiran Bahagian Mukah. Pusat pentadbiran bagi daerah ini ialah Bandar Mukah. Daerah ini dianggarkan mempunyai keluasan sebanyak 2,536 kilometer persegi dan mempunyai jumlah penduduk seramai 42,275 orang pada tahun 2020. Daerah ini mempunyai bilangan penduduk paling ramai di Bahagian Mukah. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan masyarakat Bumiputera Sarawak, yang majoritinya berbangsa Melanau dan Iban. SejarahPentadbiran daerah Mukah telah bermula seawal tahun 1911, dengan Pegawai Daerah pertamanya bernama Henry Herbert Kortright. Pentadbiran daerah Mukah pada waktu tersebut terletak di bawah bidang kuasa Bahagian Ketiga. Pada 1 Mac 2002, daerah Mukah telah diletakkan di bawah pentadbiran satu bahagian yang baharu iaitu Bahagian Mukah. Sebahagian daripada kawasan selatan daerah Mukah dan daerah kecil Balingian telah diberikan kepada daerah baharu, Selangau. Kawasan asal daerah Mukah ialah seluas 5,020 km persegi manakala keluasan baru selepas persempadanan semula seluas 2,536 km persegi. Daerah kecil Balingian pula dikurangkan saiz dari 3,032 km persegi kepada 1,170 km persegi.[2] PentadbiranDaerah Mukah terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Mukah yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran Bahagian Mukah. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Majlis Daerah Dalat dan Mukah. Terdapat sebuah daerah kecil yang berada di bawah pentadbiran daerah ini, iaitu Balingian. PolitikDaerah Mukah diletakkan di bawah tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tellian (N57) dan Balingian (N58) yang terletak di bawah kawasan Parlimen Mukah (P213) serta Kakus (N60) yang terletak di bawah Parlimen Selangau (P214). GeografiDaerah Mukah terletak di tengah negeri Sarawak, iaitu di timur bahagian Mukah. Daerah Mukah bersempadan dengan daerah Tatau di timur, daerah Selangau di selatan, daerah Dalat di barat dan Laut China Selatan di utara. Daerah Mukah mempunyai keluasan kira-kira 2,536 kilometer persegi dan mempunyai titik tertinggi mencecah 67 meter. Bentuk muka bumi daerah ini keseluruhannya merupakan kawasan rata dan mendatar kerana kedudukannya di kawasan pinggir laut. Antara sungai utama yang mengalir di daerah ini termasuklah Batang Mukah, yang mengalir di barat daerah ini dan Batang Balingian yang mengalir di timur daerah. Demografi
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Mukah ialah seramai 42,275 orang dengan kepadatan penduduk 17 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 11,938 isi rumah dengan 14,573 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Mukah merupakan Bumiputera Sarawak, dengan majoriti antara mereka berbangsa Melanau dan Iban. Penduduk berbangsa Cina membentuk kumpulan warganegara bukan Bumiputera terbesar di daerah ini. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 4,538 orang.[3][4]
AgamaDi daerah Mukah, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 47 peratus diikuti agama Kristian sebanyak lebih 41 peratus. Sebanyak lebih empat peratus penduduk tidak beragama, sama dengan peratusan penduduk beragama Buddha. Penduduk beragama Hindu dan lain-lain membentuk kumpulan minoriti.
Rujukan
|