Nora Mohd Danish Hanif (lahir 7 Mac 1982) atau lebih dikenali sebagai Nora Danish merupakan seorang pelakon wanita Malaysia. Beliau terkenal dengan memegang watak utama Puteri dalam siri komedi Puteri. Beliau juga terkenal dengan peranan televisyen seperti Sumpah Bunian, Khurafat The Series, Ana lu'lu, Tentang Dhia dan Ariana Mikhail.
Beliau menjayakan watak sebagai serikandi Tun Fatimah dalam drama sejarah Pendekar 5 yang disiarkan di TV9 bermula 24 Oktober 2007.[5][6] Setahun kemudian, beliau membintangi siri drama Gadis Cuci musim pertama. Beliau berlakon bersama dramatis Ryzal Jaafar menerusi drama Slot LagendaTV3Sumpah Bunian yang bersiaran pada 30 September 2009, Nora memegang watak gadis bunian bernama Hawa.[7][8]
Pada 31 Mei 2010, Nora menjayakan peranan Cempaka dalam siri drama epik fantasi TV3. Arjuna terbitan KRU. Nora memegang watak Eava Ealiana, seorang pengarah di syarikat bapanya dan kepentingan cinta Omar Rudy lakonan Farid Kamil dalam filem drama romantik 2010, Cuti-Cuti Cinta arahan Ahmad Idham.[9] Filem ini menandakan gandingan sulung Nora dan Farid, ditayangkan pada 21 Oktober 2010.[9]
Nora menjayakan peranan judul dalam drama Ana lu'lu arahan pertama Pierre Andre untuk siaran di Slot Lestary TV3. Ia mengisahkan seorang gadis periang yang sering tampil dengan cara berpakaian pelik dan menarik perhatian orang untuk memerhatinya, ia turut dibintangi oleh Sharifah Sakinah, Wawa Zainal dan Kamal Adli.[10]
Pada tahun 2013, beliau berlakon dalam tiga filem serentak—Lagenda Budak Hostel,[14]Mencari Cinta[15] dan 2 Kalimah.[16] Pada Jun 2014, selepas kali terakhir membintangi dua filem terdahulu (Cuti-Cuti Cinta dan Bencinta), Nora digandingkan sekali lagi bersama Farid Kamil dalam filem seram Pengantin Malam arahan Eyra Rahman. Beliau mendedahkan beberapa ulasan di akaun Instagram rasmi beliau mengenai filem ini.[17][18] Nora memegang watak Maya, isteri kepada Razif yang sering kali diganggu kejadian mistik sehingga menyebabkan hidupnya sengsara dan dan hilang ingatan.[19]
Nora digandingkan kembali bersama Ady Putra dalam filem keagamaan romantik Suami Aku Ustaz arahan Ghaz Abu Bakar, ditayangkan pada 14 Mei 2015.[20][21] Filem yang diadaptasikan daripada novel dengan tajuk yang sama hasil nukilan Hannah Dhaniyah mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah menengah, Alisa yang dipaksa untuk berkahwin dengan sepupunya dan guru agama di sekolahnya, Ustaz Hafiz.[22][23]
Bekerja di bawah arahan Ghaz Abu Bakar, Nora berlakon bersama Zizan Razak dan Shaheizy Sam dalam filem aksi Polis EVO, beliau memegang watak sebagai Anis.[24] Filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan mendapat ulasan positif daripada pengkritik filem.[25] Nora kembali bekerja di bawah arahan Ghaz menerusi telefilem Lampu Merah yang diterbitkan untuk Karya 12 Astro Citra; Nora memegang watak gadis psiko yang mengejar seorang pemandu Uber. Ia turut dibintangi oleh personaliti media sosial popular, Ucopp.[26]
Nora tampil berkolaborasi bersama penyanyi W.A.R.I.S menerusi lagu single "Ini Lagi Boom" terbitan KRU Music yang dikeluarkan pada 9 Januari 2017.[27][28][29][30]
Nora digandingkan bersama Syamsul Yusof dalam filem drama biografi romantik Makrifat Cinta arahan Kamal G, beliau memegang watak sebagai Sofea. Filem ini ditayangkan pada 1 Februari 2018.[34] Beliau menjayakan peranan utama sebagai Dewi dalam filem drama hasil kerjasama Malaysia dan Indonesia, Bukan Cinta Malaikat arahan Aziz M. Osman dan Herdanius Larobu yang ditayangkan pada 25 Januari 2018. Filem ini turut dibintangi oleh Ashraf Muslim, Fachri Albar dan Donita.[35][36][37]
Nora kembali digandingkan bersama Kamal Adli menerusi telefilem Hingga Jumpa Lagi yang memulakan tayangan perdana di Astro Citra pada 17 November 2018.
Kehidupan peribadi
Nora berkahwin dengan ahli perniagaan pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada awal Julai 2008 semasa dia sedang mengandung selama 3 bulan. Hasil perkongsian hidup pasangan ini, mereka mempunyai seorang anak lelaki.[40][41]
Pada 30 Mac 2017, beliau berkahwin kali kedua dengan Nedim Nazri yang merupakan anak kepada ahli politik BN UMNO, Mohamed Nazri Abdul Aziz dan dia menjadi ibu tiri kepada anak lelaki Nedim yang merupakan hasil daripada perkahwinan pertama beliau yang telah berakhir disebabkan penceraian pada tahun 2013.[42][43][44]
Pada 21 Februari 2018, Nora dan suaminya, Nedim, dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki.[45][46]
Di dalam media
Selain penampilan di media elektronik, Nora juga membuat penampilan media cetak sebagai penghias halaman depan untuk beberapa majalah termasuk Remaja, URTV, Media Hiburan dan akhbar termasuk Berita Harian dan Harian Metro. Beliau dilaporkan mempunyai 3.6 juta pengikut di Instagram dan 1.7 juta di Twitter, menjadikan Nora sebagai personaliti media sosial terkemuka di Malaysia.[47]
^Mohd. Haikal Isa (23 September 2015). "Aksi lasak Polis Evo". Kosmo! Online. Kosmo! Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-10-01. Dicapai pada 24 Julai 2016.