Liyana Jasmay
Liyana binti Jasmay (lahir 28 Mac 1988)[a] ialah seorang pelakon, penyanyi, penerbit, pengarah dan usahawan wanita Malaysia.[1][2][3] Beliau mula bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak 1997 dengan membuat kemunculan sulungnya dengan membawakan peranan kecil menerusi drama Si Lembik arahan Aznil Nawawi sebelum melangkah ke peranan utama menrerusi drama termasuk KAMI The Series (2007), Puaka Niyang Rapik (2008-2009), Zati dan Si Mawas (2009) dan Ponti Anak Remaja (2010). Beliau membuat kemunculan sulungnya di layar lebar menerusi filem Castello (2006). Liyana telah berlakon dalam beberapa filem pecah panggung termasuk KAMI The Movie (2008), Maut (2009), Papadom (2009), Pisau Cukur (2009), Niyang Rapik (2010), Khurafat: Perjanjian Syaitan (2011), Senjakala (2011), Isyarat Cinta (2015) dan Bella & Jamie (2019). Liyana melancarkan kerjaya muziknya pada 2009 menerusi single sulung "Aku Tak Percaya Cinta" dan seterusnya melancarkan album EP pertama, LJ (2010) yang merupakan singkatan bagi namanya diterbitkan oleh Alibi Music.[4] Liyana telah meraih pelbagai anugerah dan pencalonan dalam bahagian televisyen dan filem termasuk Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin, Anugerah Shout!, dua pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi Pelakon Filem Wanita Popular dan lain-lain. Selain itu, beliau turut mengembangkan lagi profilnya sebagai selebriti dengan menjadi penerbit televisyen dengan menubuhkan syarikatnya, Mermaid Studios yang mengkhususkan kepada penerbitan rancangan televisyen dan sebagai usahawanita dengan menubuhkan Mermaid Luxe dan Mermaid Store pada 2015. Kehidupan awal dan pendidikanLiyana Jasmay dilahirkan pada 28 Mac 1988 di Kuantan, Pahang kepada pasangan Jasmay Md. Shah dan Habsah Simpon. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat beradik yang kesemuanya perempuan, salah seorang kakaknya ialah Adriana. Liyana dibesarkan di Kuala Lumpur, mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Liyana yang lebih mesra dengan panggilan Nana ialah seorang anak yang manja dan beliau cukup mengerti jika ada yang tidak selesa dengan perwatakannya yang hiper dan suka ketawa.[5] Pada tahun 2012, beliau berangkat ke Manhattan, New York, Amerika Syarikat bagi menjalani kursus seni lakonan, pengarahan dan penulisan skrip di Akademi Filem New York (NYFA) selama 6 bulan, ditemani oleh ibunya.[6] Beliau merupakan graduan Diploma Seni Persembahan dan Media dari Universiti Sunway.[7] Kerjaya lakonanPermulaan kerjaya (1997–2006)Liyana memulakan kerjaya lakonan pada 1997. Ketika berusia 9 tahun,[8] beliau menjayakan peranan kecil dalam drama Si Lembik arahan Aznil Nawawi yang bersiaran di TV3, yang dikatakan mempunyai persamaan dengan The Little Rascals. Wajah Liyana disifatkan oleh media dengan daya penarik kegadisan, senyuman manis, mata yang penuh perasaan dan bibir bermuncung, berpadanan dengan keyakinan yang ditonjolkan apabila menyentuh mengenai lakonan.[8] Sewaktu mula berkecimpung dalam bidang lakonan, Liyana hanya berlakon dalam siri televisyen.[8] Pada tahun 2006, Liyana melangkah ke layar lebar dengan memegang watak utama Phim dalam filem Castello[9] arahan Bade Hj. Azmi, lakonan Rosyam Nor dan Erra Fazira,[9] Peranan ini yang melayakkan beliau menerima pencalonan Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-19 pada tahun yang sama.[10] Kejayaan awal, KAMI, Maut dan kemenangan anugerah (2007–2010)Pada awal tahun 2007, Liyana muncul dalam filem Syaitan, tetapi cuma memegang watak sampingan. Pada tahun yang sama Liyana kembali ke layar kaca dengan memegang watak Lyn dalam drama KAMI[11] arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak,[11] lakonan bersama Juliana Evans, Nas-T, Ani Zayanah dan Syarul Ezani.[11] Beliau juga muncul dalam video muzik lagu "Salahku" oleh kumpulan Sofaz.[12] Beliau bergandingan bersama Faizal Yusup (Allahyarham) sebagai pelakon utama dalam telefilem Cinta Si Rempit (2007) yang bersiaran di Cerekarama TV3. Selepas kejayaan filem sulung lakonannya, Castello, pada 2008, Liyana membawakan semula peranannya sebagai Lyn dalam filem KAMI The Movie terbitan Redfilms dan Grand Brilliance yang berdasarkan daripada siri mini dengan judul sama, filem ini ditayangkan di pawagam pada Oktober 2008, filem ketiga lakonannya, Histeria arahan James Lee menemui penonton di pawagam, beliau melakonkan watak sebagai Murni. Filem yang turut dibintangi oleh Scha Al-Yahya dan Yana Samsudin ini berkisarkan tentang enam orang pelajar nakal (Alissa, Tini, Marina, Murni, Junita, dan Kerek) yang menamakan kumpulan mereka sebagai ‘The Pink Ladies’, berpura-pura terkena histeria, hingga terpaksa dipanggil bomoh untuk memulihkan mereka. Juga pada 2008, Liyana menyertai barisan pelakon drama seram arahan Ahmad Idham, Puaka Niyang Rapik (2008-09) yang bersiaran di TV3. Pada 2009, beliau sekali lagi bekerja di bawah arahan Bade Hj. Azmi menerusi filem Maut (tajuk asal Malaikat Maut) terbitan Tayangan Unggul, dalam filem yang mengandungi 3 jalan cerita ini, Liyana memegang watak sebagi Su dalam cerita pertama yang turut dibintangi oleh Danny X-Factor, Raja Farah dan Nuremynadia. Liyana membintangi watak utama sebagai Laila dalam teledrama arahan Ghaz Abu Bakar, Laila Sari yang bersiaran pada 1 Ogos 2009 di Astro Ria, telefilem komedi romantis dan fantasi ini turut dibintangi oleh Erry Putra, Tam Suhaimi dan Chomel Fana, diangkat dari skrip tulisan Nizam Zakaria, mengisahkan 2 puteri bunian dari kerajaan Buni Tujuh yang memiliki jurang perbezaan dan kerap bercanggah pendapat. Berbanding dengan Laila yang agresif dan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-citanya, Sari lebih rasional dan tidak rakus. Telefilem ini diilhamkan dari filem Disney, Enchanted. Selepas muncul dengan Laila Sari,[13] Liyana bergandingan bersama Kamal Adli menerusi drama Zati & Si Mawas[14] yang diilhamkan dari kisah dongeng Beauty & The Beast.[14] Siri ini mengisahkan seorang gadis biasa bernama Zati melalui kehidupan kolej yang juga seringkali dibuli oleh kakak-kakaknya, Rina dan Joey.[14] Pada tahun yang sama, Liyana melakonkan peranan utama sebagai Miasara dalam filem Papadom arahan Afdlin Shauki, filem ini menandakan kerjasama sulungnya bersama Afdlin. Filem ini melayakkan beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik untuk filem di Festival Filem Malaysia ke-22; untuk filem KAMI The Movie, Liyana memenangi Pelakon Wanita Terbaik Filem untuk di Anugerah Skrin 2009.[15] Selepas Maut dan Papadom, Liyana kemudiannya berlakon dalam filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly lakonan Fazura dan Maya Karin, tetapi hanya melakonkan watak pembantu sebagai Suri. Beliau sekali lagi bergandingan bersama aktor berbakat Que Haidar menerusi filem Duhai Si Pari-Pari, yang menandakan kali keempat mereka berdua berlakon bersama selepas berlakon bersama dalam filem Castello, Maut dan Papadom. Satu-satunya filem lakonan Liyana pada 2010 ialah Niyang Rapik arahan Ahmad Idham yang diterbitkan susulan kejayaan Puaka Niyang Rapik yang mendapat sambutan hebat di kalangan penonton[16] tetapi jalan cerita filem ini berbeza daripada siri TV tersebut walaupun mempunyai latar tempat yang sama, turut membintangi filem ini ialah Fizz Fairuz dan Shaheizy Sam. Pada tahun yang sama, beliau melakonkan watak Siti Nur Ponti dalam telefilem Ponti Anak Remaja[17][18] terbitan The Media Hustler arahan Ghaz Abu Bakar lakonan bersama Tam Suhaimi, Farish Aziz dan Hairul Azreen.[17] Telefilem ini kemudiannya dikembangkan dalam bentuk siri televisyen yang disiarkan di Astro Ria.[17] Pada tahun yang sama, beliau memenangi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 dan Anugerah Shout! bagi kategori Best On the Screen Chemistry (bersama Afdlin Shauki) menerusi filem Papadom. Khurafat dan Frozen: Anna & Permaisuri Salji (2011–2013)Liyana memulakan portfolio 2011 dengan membintangi bersama pelakon dan pengarah pemenang anugerah Syamsul Yusof menerusi filem seram 2011, Khurafat: Perjanjian Syaitan terbitan bersama Skop Productions dan Grand Brilliance, beliau melakonkan watak sebagai Aishah, isteri kepada Johan yang dilakonkan oleh Syamsul, filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan mendapat sambutan daripada penonton, meraih kutipan pecah panggung RM8.08 juta serta menerima ulasan positif dari pengkritik filem.[19] Selepas Khurafat, Liyana muncul pula menerusi satu lagi filem seram lakonannya, Senjakala arahan Ahmad Idham, kali ini beliau berpasangan dengan Zahiril Adzim sebagai Armand, beliau memegang peranan sebagai Karlisa, filem yang berkisarkan tentang Karlisa yang baru saja kematian tunangnya di dalam satu kemalangan jalan raya. Sejak itu, Karlisa mendapat mimpi pelik yang memanggil-manggil gadis itu untuk pulang ke kampung ibunya iaitu Kg Senja Lama.[20] Filem yang ditayangkan pada 14 April 2011 merupakan satu kegagalan komersial, hanya sekadar meraih kutipan sebanyak RM1.10 juta. Pada 16 November 2011, telefilem Si Tudung Tweet yang merupakan cetusan idea Liyana dan Tam Suhaimi, menemui penonton di TV9 menerusi slot Skrin Di 9. Liyana Jasmay sendiri turut berlakon dalam telefilem arahan Ghaz Abu Bakar, bersama Juliana Evans, Izzue Islam (juga merupakan salah seorang anggota kumpulan Forteen), Natasha Hudson, Nelydia Senrose dan ramai lagi. Liyana melakonkan watak sebagai Zubaidah, seorang pelajar kolej Zubaidah yang sanggup membuat apa sahaja supaya mendapat perhatian ramai. Beliau seterusnya membintangi dua lagi filem, juga bergenre seram — Tolong Awek Aku Pontianak arahan James Lee dan Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki. Pada 2012, Liyana hanya berlakon dalam satu siri TV sahaja, iaitu 3 Janji[21] yang bersiaran di Slot Lestary TV3 bersama dua heronya, Shahz Jaszle dan Shah Iskandar, beliau melakonkan watak Dahlia. Liyana melangkah setapak lagi dalam kerjayanya dengan bergelar penerbit dengan menubuhkan syarikat miliknya, Mermaid Studios bersama kakaknya, Edriana Jasmay, telefilem Cik Paris Diva Kampung merupakan produksi sulung syarikatnya. Pada tahun berikutnya, Liyana kembali membawakan semula watak Miasara dalam kesinambungan filem Papadom, Papadom 2 arahan Afdlin Shauki, selain itu, beliau muncul dalam filem Tokan arahan Ghaz Abu Bakar. Liyana bergandingan bersama Bront Palarae menerusi telefilem NY Cinta[22] yang mana penggambaran dijalankan selepas Liyana berkahwin,[22] ia ditayangkan di Astro First pada 13 September 2013.[22] Liyana melakonkan watak utama sebagai Mia yang melanjutkan pelajaran di New York, secara tak sengaja telah bertemu dengan Seth (Bront Palarae), seorang rakyat Malaysia tetapi telah lama menetap di New York.[22] Menggunakan 99% latar belakang kota metropolis New York, NY Cinta juga turut memperkenalkan lagu tema berjudul “Jujur” yang dinyanyikan sendiri oleh Liyana dimana lagu ini ciptaan sepenuhnya oleh kumpulan Tilu.[23] Pada November 2013, Liyana meminjamkan suaranya untuk watak Puteri Anna dalam versi alihsuara bahasa Melayu filem animasi Disney 2013, Frozen: Anna dan Permaisuri Salji yang mana beliau mengambil alih watak itu daripada Kristen Bell untuk versi bahasa Inggeris.[24] Turut menyumbangkan suara ialah Marsha Milan Londoh yang meminjamkan suara untuk watak Puteri Elsa, penyampai radio Era FM, Ray meminjamkan suaranya untuk watak Olaf.[25] Peningkatan kerjaya dan perkembangan terkini (2014–kini)Liyana berlakon dalam satu-satunya telefilem lakonannya pada 2014, Bila Kau Datang bersama pelawak Nabil Ahmad yang ditayangkan pada 24 Januari di Astro Ria. Pada tahun 2015, beliau sekali lagi bekerja di bawah arahan Bade Haji Azmi menerusi filem Isyarat Cinta yang diterbitkan oleh pelakon berkaliber, Rosyam Nor, menggandingkan beliau bersama Fizo Omar dan Adi Putra. Beliau melakonkan watak sebagai Dhia, yang mengalami cacat penglihatan. Filem ini ditayangkan pada 19 Mac 2015[26][27] dan menerima ulasan positif daripada pengulas filem, malah Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memuji filem ini.[28] Liyana melangkah setapak lagi dalam kerjayanya dengan bergelar penerbit filem. Menerusi syarikat Mermaid Studios yang diasaskan bersama kakaknya, Adriana, Liyana tampil dengan filem pertama terbitannya berjudul Bella & Jamie. Selain Liyana selaku teraju utama, filem arahan bersama Ghaz Abu Bakar dan Fairul Nizam Ablah ini mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Juliana Evans, Izzue Islam, Dynas Mokhtar dan Khir Rahman.[29][30][31][32] Pada tahun 2016, Liyana kembali aktif dalam bidang lakonan selepas habis tempoh berpantang 44 hari. Memetik dari portal hiburan Sinar Harian, kerana kerja yang banyak membuatkan Liyana tidak mahu melengahkan masa yang terluang.[33] Pada April, telefilem Angin Cinta terbitannya disiarkan di Astro First Eksklusif, dibintangi oleh Zizan Raja Lawak dan Ummi Nazeera.[34][35] Pada Mac 2017, Liyana meraikan 20 tahun kerjayanya sebagai pelakon.[36] Bekerja kembali bersama Bade Hj. Azmi, Liyana berlakon dalam filem aksi 2017 terbitan Loyal Studio Sdn. Bhd., Sindiket yang memberi fokus kepada jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia bersama pelakon utamanya, Sharnaaz Ahmad, Sharifah Amani dan Daphne Iking. Dalam filem ini, beliau melakonkan watak sebagai Noreen, filem ini ditayangkan pada 6 April 2017 di pawagam seluruh negara.[37][38] Selepas sekian lama tidak muncul dalam mana-mana drama, Liyana membintangi drama online arahan Bade Hj. Azmi, Hey Mr. Spotlight yang bersiaran di Unifi TV; menggandingkan beliau bersama Amar Asyraf.[39] Bella & Jamie, filem lakonan beliau bersama Juliana Evans ditayangkan pada 24 Januari 2019 terbitan Mermaid Studios, ia mengisahkan prsahabatan antara dua gadis iaitu Bella dan Jamie menjadi lebih rapat selepas mereka mendapat tahu ibu Bella dan bapa Jamie merancang untuk berkahwin. Namun hubungan mereka goyah apabila Bella mendapat tahu yang Jamie menjalinkan hubungan cinta dengan bekas kekasihnya.[40][41] Pada tahun 2023, beliau memegang watak sebagai Aira dalam drama cereka sains, Alter-Naratif di platform penstriman Viu.[42] Kerjaya muzikPada tahun 2009, Liyana memulakan kerjaya muzik[43] dengan mengeluarkan album EP sulung LJ,[44] pada 18 November 2009[45] menampilkan lagu-lagu seperti "Aku Tak Percaya Cinta" dan "Aku Jatuh Cinta". Beliau merupakan salah seorang artis di bawah payung syarikat rakaman Alibi Music yang baru ditubuhkan ketika itu.[46] Pada tahun 2011, Liyana melancarkan single bertajuk "Cinta Bersatu" hasil nukilan kumpulan Tilu, diikuti oleh "Jujur" pada 2013. Pada tahun 2016, beliau melancarkan dua single dan video lagunya berjudul "Oh Na Na" dan "Selesa Tanpamu".[47][48] Mengulas mengenai dua single terbaharunya,[47] Liyana berkata, ia diterbitkan oleh Mermaid Studios Sdn Bhd dengan kerjasama Warner Music Malaysia.[47] Dua single berkenaan dicipta komposer Alyph yang merupakan bekas penyanyi kumpulan Sleeq. Serentak dengan pelancaran dua single berkenaan, dokumentari berdurasi 22 minit berjudul H Live! X LJ turut disiarkan di Astro.[47][49][50] Cabang lainLiyana ialah Duta Malaysia Maybelline pada tahun 2009 dan memegang peranan selama tiga tahun. Beliau menjadi Duta Kempen Gaya Hidup Bebas Asap sejak 2011. Dengan kejayannya dalam bidang lakonan, Liyana Jasmay menempatkan dirinya dalam bidang perniagaan dengan menubuuhkan Mermaid Luxe dan Mermaid Store.[51] Dalam temuramah dengan mSTAR Online,[51] Liyana memberitahu mengambil tempoh selama setahun untuk mengukuhkan label Mermaid Luxe yang menghasilkan tudung dan jubah sebelum membuka butik pakaian pertama yang diberi nama Mermaid Store.[51] Sepanjang tempoh itu, beliau bergiat aktif menjual barangan keluarannya di bazar dan kedai vendor termasuk di luar Lembah Klang bagi memenuhi penerimaan dan kehendak pelanggan.[51][52] Kehidupan peribadiLiyana berkahwin dengan ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan pada 2 Februari 2013. Beliau dikurniakan dua anak perempuan, iaitu Sofia Arissa (lahir Mei 2014) dan Selena (lahir Januari 2016).[53][54][55] Beliau dilaporkan berhasrat menimang anak lelaki pada usia 31 tahun.[56][57] Sekitar 2013, beliau dilaporkan berselisih faham dengan jurugambar, Saiful Nang berhubung kontrak penajaan beliau menyebabkan Saiful tidak mahu meneruskan kerjasama dengannya lagi.[58] Bapa Liyana, Jasmay Md Shah meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Disember 2021.[59][60] Ini kemudian diikuti oleh ibunya, Habsah Simpon yang meninggal dunia pada Mei 2023 akibat kanser limfoma.[61][62] Berikutan kematian ibu bapanya, Liyana meluahkan kebimbangannya bahawa berkutan faktor genetik, beliau berkemungkinan berisiko untuk menghidap kanser dalam satu temubual bersama Kosmo!: "Perkara yang menimpa ibu bapa menjadi pengajaran untuk saya memandangkan kedua-duanya meninggal dunia disebabkan kanser [...] Jadi genetik saya memang berisiko untuk menghidap kanser".[63] FilemografiFilem
Drama
Telefilem
Televisyen
VideografiMuzik video
DiskografiAlbum
Single
Anugerah dan pencalonan
Catatan
Rujukan
Pautan luar |