Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato Haji Abbas atau nama ringkasnya SMKADHA ialah sebuah sekolah menengah agama yang terletak di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, Malaysia. Ia pernah dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring dan Pondok Tok Jiring sebelum diambil alih oleh pihak kerajaan.
Sejarah
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring dibuka pada tahun 1953 dalam bentuk pengajian pondok dengan jumlah pelajarnya 180 orang, oleh Tuan Guru Haji Abas Haji Mohamad. Pada tahun 1965, sekolah ini telah diletakkan di bawah Pentadbiran Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu manakala sistem pengajian pondok telah ditukar kepada sistem pengajian agama dan arab.
Pada 1 Julai 1977 menjadi tarikh keramat apabila sekolah ini diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun 1982, sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah gred A.
Dalam sejarahnya selama kira-kira setengah abad, sekolah ini berkembang maju menjadi sebuah institusi pendidikan terkemuka di Terengganu setanding dengan sekolah-sekolah ternama di tanah air.
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring telah diberikan nama baru sempena nama pengasas sekolah ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abbas berkuatkuasa 11 Februari 2014.[2]
Pada 5 April 2013, SMKADHA diberi pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Kebitaraan Bahasa Arab dan Catur Fasa Ke-7.[3][4]
Logo Sekolah
Warna Merah - Melambangkan cita-cita yang tinggi dan berpandangan jauh
Warna Kuning - Melambangkan kegigihan dan kecekalan dalam mengharungi cabaran
Warna Putih - Melambangkan tulus dan ikhlas dalam melaksanakan amanah
Warna Hijau - Melambangkan kedamaian dalam kehidupan iklim persekolahan
Kitab Yang Terbuka - Melambangkan ilmu pengetahuan
Logo Yang Berbentuk Perisai - Melambangkan perjuangan pelajar dalam menuntut ilmu